KUALA TERENGGANU 11 Ogos - Sejak diasaskan 14 tahun lalu, Kolej Komuniti yang berjumlah 92 buah di seluruh negara, sehingga kini telah memberi peluang kepada seramai 1.6 juta rakyat mengikuti latihan dan kursus pendek dalam pelbagai bidang kemahiran.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Amir Md. Noor berkata, institusi berkenaan makin memperlihatkan keupayaannya melahirkan tenaga kerja mahir serta separuh mahir, sekali gus memberi kesan signifikan terhadap pembangunan negara dan taraf hidup rakyat.
Beliau menarik perhatian, kebolehpasaran lulusan berkenaan meningkat kepada 94.2 peratus pada tahun lalu berbanding 66 peratus pada 2011, mendahului institusi pengajian tinggi awam yang mencapai sekitar tahap 75 peratus diikuti politeknik 70 peratus.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan lulusan Kolej Komuniti mempunyai nilai tambah dan berdaya saing bagi memenuhi pasaran kerja, permintaan industri di samping mempunyai persiapan untuk berdikari.
“Memandangkan Wawasan 2020 kian hampir, negara bukan sahaja memerlukan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi, maka bagi menjana tenaga kerja mahir dan separa mahir kita merencana pelbagai inisiatif untuk mengarusperdanakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Memandangkan Wawasan 2020 kian hampir, negara bukan sahaja memerlukan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi, maka bagi menjana tenaga kerja mahir dan separa mahir kita merencana pelbagai inisiatif untuk mengarusperdanakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Ini merupakan tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh Kolej Komuniti dengan kolaborasi erat industri dan komuniti setempat kerana penggemblengan tenaga bukan sahaja menjanjikan transformasi masyarakat malah memberi kuasa kepada mereka sebagai ‘the empowered community’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Terengganu, Pahang dan Kelantan bagi sesi Jun 2014 dan Disember 2014 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini baru-baru ini.
Yang hadir sama, Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Che Mukhtar Bakar. Seramai 1,294 graduan dari 16 Kolej Komuniti memperoleh sijil masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 29 graduan bagi Sesi Jun 2014 dan Disember 2014 di setiap kolej menerima Anugerah Graduan Cemerlang termasuklah graduan Sijil Fesyen dan Pakaian, Noor Azidah Mohd. Pauzi dan Mohamad Syafiq Kamaruddin (Sijil Pelukis Pelan Senibina) dari Kolej Komuniti Kuala Terengganu.
Sementara itu, Amir berkata, Kolej Komuniti akan menawarkan lebih banyak program berteraskan ‘teknologi tinggi’ dan ‘nilai tinggi’ sejajar dengan keperluan industri semasa serta komuniti setempat dengan program di peringkat sijil itu akan terus ditingkatkan kepada diploma kelak.
Terdahulu, katanya, Kolej Komuniti dibangunkan berdasarkan bidang ekonomi utama negara antaranya automotif, perkapalan, perladangan, peruncitan, petrokimia, minyak dan gas serta pelancongan.
“Saya percaya dengan kemahiran dan ilmu keusahawanan yang telah diserapkan dapat dijadikan panduan bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selaras hasrat kita agar mereka turut menjadi penjana pekerjaan berbanding pencari pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Noor Azidah berterima kasih kepada Kolej Komuniti yang memainkan peranan penting dalam memberi peluang kedua kepada pelajar sepertinya yang kurang cemerlang dalam akademik untuk meningkatkan potensi diri sekali gus memberi inspirasi jelas berhubung hala tuju kerjaya.
“Atas saranan kakak, saya mendaftar kursus Sijil Fesyen dan Jahitan. Kini saya menyambung pelajaran di peringkat diploma dalam bidang sama di Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dan impian saya seterusnya adalah untuk membuka perniagaan sendiri,” ujarnya.
pengarang@utusan.com I 12 Ogos 2015 12:36 AM
No comments :
Post a Comment